Wednesday, August 8, 2012

Kisah Hati


Kisah hati siapa, ya? Ia langsung tiada kaitan dengan cinta kaum Adam dan Hawa. Sebaliknya, cinta kepada Allah melalui aqidah yang mantap, ibadah yang berkesan, dan akhlak yang soleh dan terpuji. Ini juga dikatakan CINTA. Cinta yang abadi antara hamba dan Penciptanya.
Gabungan ketiga-tiga (aqidah yang mantap, ibadah yang berkesan, dan akhlak yang soleh dan terpuji) inilah yang menjadi tunjang dalam membentuk peribadi muslim yang unggul - yang melahirkan keindahan Islam melalui perwatakan dan sahsiah yang baik yang ditunjukkan oleh individu muslim.
Ya, KISAH HATI. Kisah hati seorang insan bergelar muslimah yang hatinya telah disentuh oleh seorang muslim yang hanya tahu bermain dengan kata-kata. Tetapi Allah amat menyayangi dirinya dengan membuatkan dia sedar bahawa ini bukanlah yang dinamakan cinta yang abadi. Bukan ini yang digariskan oleh Islam.
"Ana dah jatuh hati pada enti.."
Siapa sangka ayat yang sengaja dibuat-buat itu membuatkan hatinya tercuit. BENAR. Hati seorang perempuan mudah disentuh, mudah dilenturkan. TAPI jangan kalian yang bergelar lelaki lupa bahawa kami sentiasa ada Allah yang menjaga kami, yang mengawasi setiap tindak-tandukmu, yang sentiasa mengerti isi hatimu.
Rupa-rupanya, ada kekurangan pada ayat itu yang membuatkan kami tahu bahawa ini bukanlah cinta yang sebenar yang indah.
"Ana dah jatuh hati pada enti...DAN mahu menjadikan enti sebagai isteri."
JANGAN dilafazkan kata 'suka' kalau masih belum bersedia. Kalau hanya sekadar 'suka-suka'. SOAL HATI bukanlah mainan. Hati yang dimiliki ini juga memiliki kekurangan, kecacatan.
Bukan harta yang dicari dan bukan rupa yang didambakan. Tetapi akhlak yang soleh, keikhlasan dan kejujuran yang diidamkan. BERILMU dan BERAKHLAK mahmudah, sungguh indah sekiranya dipadankan.
Sudah cukup Allah bagiku. Terasa indah setiap kali bersamaNya. BENAR. Cinta Allah, jelas diperlihatkan olehNya. Nikmat hidup, sihat, iman dan Islam, tanda Dia sayang pada kita.
Tetapi cinta manusia, belum tentu jelas terpampang di hadapan mata. Pengorbanan dan kesetiaan seringkali hilang dalam sesuatu perhubungan. Tetapi tidak seperti Saidina Ali dan Saidatina Fatimah. Tidak seperti Yusuf dan Zulaikha. Apatah lagi tidak seperti Nabi Muhammad dan Saidatina Khadijah. Pengorbanan, kesetiaan dan kejujuran sentiasa menghiasi mereka. Sungguh INDAH Islam mengatur perjalanan hidup mereka.
Oleh sebab itu, jangan sesekali melafazkannya kalau kalian tidak bersungguh-sungguh untuk memiliki. Kerana hati mereka sungguh tulus dan ikhlas dalam mencintai dan mengasihi dan sentiasa dipelihara oleh Allah.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Nur Adilah bt Mohd Zaidi berasal dari Pulau Pinang dan berumur 19 tahun. Beliau menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Farmasi Beliau berkongsi karya di http://serikandislam.blog.com/

No comments:

Post a Comment